top of page
nabalunews

Gotong-Royong Perdana Kampung Ratau Sambut Cuti Krismas.


12 Disember 2024


KOTA BELUD : Menjelang sambutan Krismas dan cuti sekolah, Kampung Ratau bakal menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana pada 14 Disember ini, yang dijangka melibatkan penyertaan seluruh komuniti kampung dalam usaha memastikan persekitaran kampung bersih dan teratur bagi memeriahkan lagi kedatangan musim perayaan.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ratau, Dina Bandaran, memaklumkan bahawa program ini akan memberi tumpuan kepada beberapa lokasi strategik, termasuk membersihkan kawasan perkuburan, dewan masyarakat, serta membersih, mencantas dan membaja pokok bunga di sepanjang jalan masuk ke kampung ini.


Menurut Dina, Program Gotong-Royong Perdana ini mendapat sokongan penuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang menyumbangkan bantuan melalui inisiatif touchpoint.


Bantuan tersebut disalurkan melalui Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, dan diserahkan secara rasmi kepada JKKK Kampung Ratau.


“Kami amat berterima kasih kepada Ewon atas sokongan beliau. Bantuan yang diberikan akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan gotong-royong berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujar Dina.


"Program ini bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan fizikal, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara penduduk.


“Gotong-royong sebegini penting untuk memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap persekitaran kita. Selain itu, ia memberi peluang kepada penduduk kampung untuk bekerjasama dalam suasana harmoni,” tambah Dina.


Dina berharap dengan penyertaan aktif penduduk, program ini dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan bersih, sekaligus menambah kemeriahan sambutan Krismas di Kampung Ratau.


Selain itu katanya, penambahbaikan landskap melalui penanaman bunga di sepanjang jalan masuk juga dijangka memberi wajah baharu kepada kampung dan memberikan keselesaan kepada pengunjung.


Menurut Dina lagi, sumbangan ini menyerlahkan komitmen ADUN Kadamaian dalam menyokong usaha pembangunan komuniti yang memberi impak positif terhadap kehidupan masyarakat.

תגובות


bottom of page