Gotong-royong tingkat kebersihan dan silaturahim penduduk
24 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Lebih 30 penduduk Kampung Penampatan Wariu, di sini, tampil melaksanakan program gotong-royong membersihkan kawasan balairaya dan gelanggang sepak takraw di kampung berkenaan.
Usaha berkenaan bukan saja untuk memastikan keceriaan dan kebersihan kawasan komuniti kampung tetapi juga dapat merapatkan silaturahim antara penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Raim Ginsos berkata, penduduk amat berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Katanya, acara yang berlangsung meriah itu bukan saja disertai penduduk kampung tetapi juga mereka yang prihatin terhadap kebersihan persekitaran.
“Inisiatif ini bukan saja berjaya memastikan kawasan sekitar lebih bersih, tetapi juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.
“Gotong-royong seperti ini penting untuk memperkukuhkan semangat kekitaan dan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan bersama,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, hasil kerjasama semua pihak, kawasan ini kini lebih bersih dan selesa untuk digunakan dalam pelbagai aktiviti komuniti.
“Dengan kejayaan program ini, balairaya dan gelanggang sepak takraw Kampung Penampatan Wariu kini siap digunakan oleh penduduk untuk pelbagai program dan aktiviti.
“Gotong royong ini menjadi bukti bahawa usaha kolektif mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan komuniti,” tegasnya.
Comments