Graduan boleh ceburi sektor keusahawanan sebagai kerjaya pilihan - Ewon

26 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan supaya para graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, pada masa hadapan.
Beliau berkata, ini kerana sektor keusahawanan mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas selain membantu menyumbang kepada ekonomi negara.
“Semoga lebih ramai graduan dan anak muda menyahut cabaran berkerjaya sebagai usahawan sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang lain.
“Pada ketika ini sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menyumbang kepada 39.1 peratus KDNK dalam negara, sektor PMKS ini juga menggaji 48 peratus daripada rakyat Malaysia.
“Ini membuktikan sektor keusahawanan juga boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan yang lain. Oleh itu saya berharap ada di kalangan graduan yang memperolehi pencapaian cemerlang menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Bank Rakyat (YBR), di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Timbalan Pengerusi YBR Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, dan Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya menyediakan pelbagai skim khusus untuk graduan dan anak-anak muda menceburi sektor keusahawanan.
Beliau turut berkongsi kisah kejayaan usahawan-usahawan muda di negara ini yang beliau temui sepanjang lawatan kerja di seluruh negara.
“Saya berharap kisah kejayaan usahawan-usahawan itu dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada para graduan untuk terus mencipta kejayaan dalam kerjaya masing-masing sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, swasta atau untuk menjadi usahawan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 150 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 50 graduan Ijazah Sarjana masing-masing menerima Anugerah Kecemerlangan.
Sebanyak 25 pelajar cemerlang matrikulasi tajaan YBR menerima tajaan komputer riba serta tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di universiti.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga kecemerlangan ini akan menjadi inspirasi kepada para pelajar lain untuk turut sama mencetuskan kecemerlangan,” katanya.
Ewon turut menghargai inisiatif konsisten Yayasan Bank Rakyat dan Bank Rakyat dalam melengkapkan usaha pelbagai institusi lain membangunkan gerakan pendidikan negara, termasuk memberi tumpuan tambahan kepada anak-anak keluarga B40 dan yang terdaftar dalam e-Kasih.
Comentarios