top of page

GST AKAN DILAKSANAKAN SEMULA SELEPAS KAJIAN TERPERINCI DILAKUKAN

nabalunews

28 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas kajian terperinci dilakukan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abd Rahim Bakri berkata walaupun diakui ia merupakan sistem percukaian yang komprehensif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun kerajaan mengambil iktibar perkara yang berlaku sebelum ini sehingga menimbulkan pelbagai polemik.

“Sememangnya GST ini merupakan satu sistem percukaian yang komprehensif, tetapi pada masa yang sama ia turut mempunyai kelemahan dalam aspek pelaksanaan, oleh itu kerajaan akan melakukan kajian yang lebih terperinci.

“Mungkin kelemahan seperti soal bayaran balik sehingga menimbulkan kesan kepada indeks harga pengguna menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Eksesais (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Beliau yakin sekiranya semua kelemahan itu dapat diatasi, GST akan dapat dilaksanakan kembali dan akan mendapat sokongan pelbagai pihak sekali gus akan meningkatkan kembali pendapatan kerajaan.

Sementara itu, Abd Rahim berkata kerajaan memandang serius tentang kegiatan ekonomi gelap, menyebabkan ketirisan hasil sebanyak RM300 billion seperti yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Othman Aziz.

“Kerajaan amat mengambil berat soal ini dan akan memastikan ia dapat diatasi untuk meningkatkan hasil kerajaan.

“Beberapa peruntukan undang-undang diperketatkan dan agensi penguat kuasa dikoordinasi untuk memastikan usaha penguatkuasaan dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan ketirisan,” katanya.


Ekonomi gelap merupakan aktiviti ekonomi yang tidak direkodkan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengutip cukai. - Bernama

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page