top of page
  • nabalunews

Guarana berpotensi tinggi, mampu bantu atasi kemiskinan luar bandar Sabah – Jeffrey Kitingan




25 September 2024


KOTA KINABALU: Sabah merancang untuk mengembangkan tanaman Guarana bagi memanfaatkan potensi ekonomi tinggi tumbuhan itu, yang dilihat mampu memberi sumbangan besar kepada pendapatan penduduk luar bandar jika dibenarkan untuk ditanam secara komersial di Malaysia.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata Guarana, tumbuhan yang berasal dari Amazon, Brazil, mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi dan berpotensi menjadi antara langkah mengatasi kemiskinan, khususnya di kalangan penduduk luar bandar di Sabah, yang bergantung kepada hasil pertanian.


Menurut Jeffrey, nilai pasaran biji Guarana, yang dikenali dengan nama saintifik Paullinia cupana mencecah RM60 sekilogram.


Setiap pokok Guarana dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram biji setiap tahun, memberikan prospek pulangan ekonomi yang amat memberangsangkan kepada para petani yang mengusahakannya.


"Jika kita berjaya mengkomersialkan tanaman ini, ia bukan sahaja akan memberi pulangan yang baik kepada petani, tetapi juga membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar yang memerlukan sumber pendapatan tambahan," kata Jeffrey dalam Persidangan Antarabangsa Guarana Borneo (BIG C) 2024.


Walaupun potensi tanaman ini begitu besar, Jeffrey menjelaskan bahawa terdapat dua isu utama yang perlu diselesaikan sebelum penanaman Guarana dapat dijalankan secara komersial di Malaysia.


Pertama, halangan undang-undang berkaitan akses sumber genetik tumbuhan tersebut di bawah Protokol Nagoya, yang melibatkan tuntutan hak oleh Brazil.


Kedua, kebimbangan bahawa Guarana boleh menyebabkan penyakit kulat yang merosakkan tanaman lain, khususnya getah, yang merupakan salah satu komoditi penting di Sabah.


"Sehingga kini, kita masih belum menerima bukti saintifik yang kukuh mengenai dakwaan bahawa Guarana boleh memberi kesan buruk kepada tanaman getah. Terdapat kemungkinan bahawa isu ini hanya satu propaganda untuk menghalang penanaman Guarana di sini," tambah beliau.


Namun begitu, Jeffrey menyatakan bahawa tanaman Guarana telah ditanam di Semenanjung Malaysia selama tujuh keturunan tanpa sebarang masalah besar, dan kajian menunjukkan tiada risiko kerosakan kepada tanaman lain.


Menariknya, Guarana sebenarnya sudah pun ada di Sabah selama lebih 30 tahun, dengan penanaman pertama direkodkan di Lagud Sebrang, Tenom.


Selain itu, spesies ini juga telah ditemui di Sarawak, menunjukkan bahawa tanaman ini mungkin mempunyai hubungan dengan ekosistem tempatan Borneo.


Jeffrey menambah bahawa tiada isu undang-undang yang sepatutnya menghalang penanaman Guarana di Sabah, memandangkan biji benih yang akan digunakan sudah sedia ada di negeri ini. Persoalan utama kini adalah untuk mengesahkan bahawa Guarana selamat ditanam tanpa menjejaskan tanaman lain.


"Kita perlu mendapatkan bukti yang jelas dan tuntas semasa persidangan BIG C 2024 ini bahawa Guarana tidak memberi kesan buruk kepada tanaman getah. Ini penting sebelum kita mengemukakan cadangan kepada Kabinet negeri untuk membuat keputusan muktamad mengenai penanaman Guarana," katanya.


Selain potensi ekonomi sebagai tanaman pertanian, Guarana juga dikenali dengan kandungan kafeinnya yang tinggi. Ini menjadikan ia ramuan penting dalam produk minuman tenaga, serta bahan herba yang digunakan dalam bidang perubatan tradisional. Industri ini membuka lebih banyak peluang komersial kepada Sabah, terutamanya jika tanaman ini dibenarkan untuk berkembang pada skala besar.


Dengan segala potensi ini, Jeffrey berharap agar penanaman Guarana dapat dilaksanakan di Sabah bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar, sambil memperkukuh ekonomi pertanian negeri.

Kommentare


bottom of page