top of page
Wartawan Nabalu News

Guru Kolej Vokasional Keningau tersenarai pendek anugerah global


15 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News



KENINGAU: Seorang guru bahasa Melayu di Kolej Vokasional Keningau, Lerry David, berjaya masuk ke senarai pendek 60 orang calon bagi anugerah guru berdedikasi Cambridge daripada 11,000 pencalonan di seluruh dunia.


Anugerah itu dianjurkan oleh Cambridge University Press untuk mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan guru-guru dalam bidang pendidikan. Senarai pendek itu diumumkan di laman web rasmi anugerah pada 10 April 2023.


Lerry David akan bersaing dengan 10 orang calon lain dari kategori benua Australia, New Zealand dan Asia Tenggara untuk mara ke peringkat seterusnya.


Enam orang pemenang kategori benua akan dipilih pada 24 April 2023 dan seorang pemenang global akan ditentukan pada peringkat akhir.


Lerry David mendapat pencalonan kerana usahanya sebagai ketua warden asrama yang mengadakan pelbagai aktiviti untuk pelajar semasa perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020 dan 2021.


Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah sukan, permainan video, melukis mural, konsert lagu dan persembahan fesyen.


Menurutnya, pencalonan itu memberi motivasi kepadanya untuk terus berkhidmat sebagai ketua warden asrama dan melancarkan lebih banyak program untuk kebajikan pelajar.


Beliau juga berterima kasih kepada pihak sekolah yang memberi sokongan dan penghargaan kepadanya.


Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, menyatakan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian Lerry David. Beliau berharap agar guru tersebut dapat memenangi anugerah tersebut dan membawa nama baik sekolah dan negara.

Commenti


bottom of page