top of page
nabalunews

HALANG UNDI 18 BONSAIKAN MINDA ANAK MUDA



Ramai telah bertanyakan pendapat saya tentang polemik Undi 18 yang ditolak oleh Rais Yatim dan ramai lagi pemimpin kerajaan PN.


Jawapan saya ringkas, ia telah diluluskan di dewan rakyat secara dwipartisan. Dewan rakyat mewakili suara rakyat oleh mereka yang telah dipilih oleh rakyat.



Penolakan atau penangguhan terhadap keputusan yang telah dibuat di dewan rakyat adalah satu lagi tindakan menghina dewan dan pencabulan terhadap demokrasi dan keluhuran perlembagaan.


Bahkan pindaan terhadap Auku di zaman PH adalah sebahagian dari usaha melancarkan perlaksanaan Undi 18 dan langkah untuk mematangkan rakyat Malaysia.


Begitu juga dengan pendidikan sivik merentasi kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah dan pengenalan subjek Falsafah & Etika di IPT yang diperkenalkan pada 2019. Ini semua adalah sebahagian dari usaha mendidik anak-anak Malaysia agar bersedia dengan proses demokrasi yang matang.


Semua usaha ini, termasuk pengenalan sudut pidato serta pilihanraya yang diuruskan oleh pelajar di sekolah-sekolah dan IPT serta perisytiharan universiti tempatan sebagai “Medan Intelektual Terbuka” seawal Julai 2018 oleh KPM dan usaha menghidupkan student union (kesatuan pelajar) di IPT juga adalah antara usaha pendidikan warga dan demokrasi demi mempersiapkan mereka untuk Undi 18.



Usaha menghalang dan menangguhkan Undi 18 adalah langkah ke belakang yang regresif.


Ini jenayah pembonsaian minda anak-anak muda dan jika kita serius mahu membina masa depan anak bangsa, perkara ini tidak boleh dibenarkan.


Jangan biarkan idea mereka yang sudah tidak relevan, terutamanya politikus luput tarikh yang tidak berkaitan merenggut masa depan anak-anak kita. - Malaysiakini



DR MASZLEE MALIK

Anggota Parlimen Simpang Renggam

Bekas Menteri Pendidikan Malaysia


Comments


bottom of page