Hampir 300 orang hilang tempat tinggal kebakaran di Kampung Penangah, Tongod
16 September 2024
TONGOD: Hampir 300 orang dari 74 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan 44 rumah di Kampung Penangah, Tongod, petang semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Menurut bomba, mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu terdiri daripada 131 lelaki dan 151 wanita.
Turut terbakar sebuah kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.24 petang.
Katanya sepasukan 13 anggota bomba bersama jentera pemadam api dari BBP Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 174 kilometer dari balai.
Turut membantu memadamkan kebakaran sepasukan 4 anggota bomba dari BBP Beluran dan 5 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Kampung Saguon Kuayup.
Agensi lain yang turut terlibat ialah 18 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.
"Anggaran jumlah kebakaran rumah yang terlibat adalah sebanyak 44 buah rumah yang dibina rapat antara satu sama lain
dengan keluasan 3 ekar telah terbakar 100%.
"Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan 1 aliran 900 kaki 2 pancutan dari sumber air terbuka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Azlan berkata kebakaran dapat dikawal jam 2.30 pagi manakala operasi bomba ditamatkan jam 7.10 pagi tadi.
Comments