Hantar mesej berbaur perkauman wajar dikenakan tindakan – Aaron
- nabalunews
- Apr 24
- 1 min read

24 April 2025
PUTRAJAYA: Tindakan undang-undang wajar dikenakan terhadap penghantar makanan yang didakwa menghantar mesej berbaur penghinaan dan bersifat perkauman kepada seorang guru, Ahad lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perbuatan itu amat mengecewakan dan pihaknya memandang serius insiden tersebut.
Katanya, kejadian itu bukan saja mencemar nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat majmuk Malaysia, malah menggugat keharmonian antara kaum.
"Tindakan seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikenakan tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Aaron berkata, pihak syarikat penghantaran digesa untuk mengambil tindakan disiplin tegas terhadap individu yang terlibat serta memperketat garis panduan tatakelakuan pekerja mereka.
Sehubungan itu, Aaron menyeru semua rakyat Malaysia agar sentiasa memupuk sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Tidak ada tempat dalam negara ini untuk sebarang bentuk diskriminasi, kebencian atau perkauman.
"Saya percaya bahawa insiden ini adalah tindakan individu dan bukan gambaran masyarakat secara keseluruhan. Namun, kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang lebih inklusif, aman dan bersatu," katanya.


















Comments