Hanya guru dibenarkan rotan, ibu bapa mangsa buli dilarang ambil tindakan sendiri – KPM
nabalunews
6 Februari 2025
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga kepada mangsa buli tidak dibenarkan untuk merotan pelajar yang membuli anak mereka.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa hukuman rotan hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau guru yang diberi kuasa mengikut peraturan sedia ada.
Menurut beliau, tindakan disiplin ini tertakluk kepada garis panduan ketat seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 serta Surat Pekeliling 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid.
“Pelaksanaan hukuman rotan terhadap murid perempuan adalah dilarang, dan ia juga tidak boleh dijalankan secara terbuka atau ketika perhimpunan sekolah,” jelas Fadhlina.
Sebelum ini, Abd Ghani meminta KPM mempertimbangkan kebenaran kepada penjaga mangsa buli untuk merotan pelaku di hadapan perhimpunan sekolah sebagai pengajaran.
Sebaliknya, KPM menegaskan bahawa penyelesaian terbaik adalah melalui komunikasi yang lebih kukuh antara pihak sekolah dan ibu bapa untuk menangani isu disiplin secara berhemah dan efektif.
Fadhlina turut menekankan kepentingan pendekatan holistik yang bukan sekadar bersifat hukuman, tetapi lebih kepada pembinaan sahsiah murid dan penerapan nilai hormat-menghormati bagi menangani masalah disiplin di sekolah.
Selain itu, katanya, program intervensi turut dilaksanakan bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah disiplin, termasuk kaunseling dan pemupukan nilai-nilai murni.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu murid memahami kesan perbuatan mereka, tetapi juga membentuk keperibadian yang lebih beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Comments