top of page
  • Wartawan Nabalu News

Haos Ek? boleh jadi jenama Malaysia, inspirasi usahawan lain - Ewon

23 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, produk minuman Haos Ek? yang diusahakan oleh usahawan wanita di negeri ini boleh menjadi jenama Malaysia dan inspirasi kepada usahawan lain.


Beliau berkata, ini kerana dalam tempoh yang singkat produk minuman itu berjaya menarik pelanggan tersendiri sehingga menembusi pasaran Singapura.


“Ini bukan lagi mimpi tetapi realiti, mereka ada followers tetap dan inilah yang kita mahu agar semua perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai pelanggan tetap kerana tanpa mereka pasti pasaran perniagaan amat mencabar.


“Bukan mudah, dalam tempoh yang singkat sahaja, syarikat ini berjaya membuka kilang sendiri, ini satu pencapaian luar biasa. Mudah-mudahan kejayaan ini akan menjadi contoh dan inspirasi serta motivasi kepada PMKS yang lain untuk turut sama mencapai kejayaan seperti ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kilang Haos Ek? di sini, hari ini.

Ewon juga kagum dengan pencapaian dan pelan perniagaan syarikat ini bukan sahaja meluaskan pasaran sehingga ke peringkat antarabangsa tetapi berjuang menjaga kebajikan pekerjanya sehingga menubuhkan koperasi untuk mereka.


“Saya bangga kerana perjuangan usahawan kita ini bukan hanya dari sudut pelan perniagaan dan wawasan perniagaan tetapi soal kebajikan kakitangan, membangunkan usahawan kecil yang lain menjadi pengedar atau ejen produk ini.


“Perjuangan usahawan ini menjadikan Hoas Ek? satu jenama yang dikagumi dan perlu dipromosi bukan setakat jenama di Johor tetapi jenama Malaysia. Siapa lagi yang menyokong produk Malaysia kalau bukan rakyat Malaysia sendiri?


“Kalau kilangnya di Johor maka masyarakat Johor harus menjadi orang pertama mempertahankan jenama ini. Kita harus mengangkat jenama Haos Ek ini sebagai satu jenama Malaysia yang bukan hanya menjadi jaguh di Malaysia tetapi jaguh serantau.


“Ini wawasan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan wawasan kerajaan untuk menjadikan PMKS jaguh serantau,” katanya.

Ewon turut mengalu-alukan syarikat produk Haos Ek supaya meluaskan pasaran ke Sabah dan Sarawak.


“Saya berharap dengan usaha berterusan pihak syarikat, matlamat mereka untuk meluaskan pasaran sehingga ke peringkat antarabangsa akan tercapai pada masa akan datang.


“Sememangnya kementerian kita adalah peneraju pembangunan keusahawanan dan melalui agensi-agensi, kita mempunyai program untuk mengangkat usahawan sehingga ke pasaran antarabangsa,” katanya.


Usahawan wanita, Nordianis Permin yang mengusahakan Syarikat Adin Marketing Group Sdn.Bhd, pengeluar produk minuman Haos Ek, pada mulanya menjalankan perniagaan percetakan dan pengiklanan hampir 12 tahun sebelum beralih kepada perniagaan produk minuman.


“Perniagaan produk minuman ini bermula semasa pandemik Covid-19, iaitu pada tahun 2021 dan tidak menyangka produk kami mendapat sambutan sangat memberangsangkan. Dalam masa satu tahun, kami berjaya menjual 2 juta botol minuman.


“Pada minggu lalu, ketika sambutan ulang tahun yang ketiga, kami telahpun menjual sebanyak 8.5 juta botol dalam masa 36 bulan.


“Kejayaan ini adalah atas sokongan semua termasuk kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya yang sebelum ini menerima pembiayaan daripada Tekun Nasional.


Katanya lagi: “Perjalanan Hoas Ek yang orang lain nampak indah, sebenarnya telah melalui banyak cabaran tetapi dengan dorongan, keazaman dan ketekunan serta kesungguhan kami bekerja sebagai satu pasukan, kami berjaya mengharunginya bersama”.


Nordianis berkata, mereka telah menubuhkan koperasi tahun lalu khusus untuk kakitangan syarikat itu.

Komentar

Tidak Dapat Memuat Komentar
Sepertinya ada masalah teknis. Coba sambungkan kembali atau segarkan halaman.
bottom of page