top of page
nabalunews

Harga RON95 kekal, RON97 dan diesel naik lima sen bermula 16 Januari




15 Januari 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan penetapan harga runcit mingguan bagi produk petroleum dengan RON95 kekal pada RM2.05 seliter, manakala RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing mencatat kenaikan lima sen seliter mulai 16 hingga 22 Januari.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa harga RON97 dinaikkan daripada RM3.33 seliter kepada RM3.38 seliter. Harga runcit diesel pula naik daripada RM3.03 kepada RM3.08 seliter di Semenanjung, tetapi kekal pada RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak, dan Labuan.


“Seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.38 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.08 seliter. Harga runcit diesel di Semenanjung masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” menurut kenyataan itu.


MOF menegaskan bahawa harga produk petroleum ditetapkan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), dan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran minyak global untuk menyesuaikan harga jika perlu.


“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” tambah kenyataan tersebut.

Comentários


bottom of page