Hargai peluang kedua: Andi Suryady
23 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Prospek yang mendapat Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dinasihatkan agar menghargai peluang kedua, yang merupakan hadiah sangat berharga untuk membina masa depan yang lebih baik.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, mereka perlu terus berusaha dan bangkit untuk berubah agar tidak kembali terjebak dengan kesalahan lalu.
Dalam masa yang sama, katanya, masyarakat diingatkan supaya tidak terus memandang serong terhadap bekas banduan untuk membantu mereka dari kembali ke dalam kehidupan jenayah.
"Semua pihak perlu memainkan peranan untuk membantu bekas banduan yang dibebaskan ini, kembali ke jalan yang benar,"katanya.
Tambahnya, tanggungjawab memulih dan mendidik tidak boleh hanya diserahkan kepada Jabatan Penjara, sebaliknya setiap masyarakat hendaklah bersama-sama memastikan bekas banduan dapat membina kehidupan baharu.
Beliau berkata demikian sempena Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani: Kepulangan yang dinanti Sempena Tahun Baru Cina 2025 di Dewan Wawasan Kuarters Perumahan Penjara Tawau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program PBSL Ihsan Madani mampu memberi harapan baru kepada bekas banduan untuk memulakan kehidupan baharu dengan sokongan keluarga dan masyarakat.
Katanya, program itu juga adalah selangkah menuju perubahan dan pembinaan semula kehidupan bekas banduan ke arah lebih positif serta memiliki masa depan lebih baik apabila kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Commentaires