Hari Bumi Tuaran Catat Malaysia Book Of Records penanaman pokok liposu terbanyak dalam sehari
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

22 April 2025
TUARAN: Daerah Tuaran mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan pencapaian baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sempena sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 hari ini.
Pengiktirafan itu diperoleh melalui acara penanaman 8,800 anak pokok Baccaurea Lanceolata (Liposu) dalam satu acara secara serentak.
Pokok Liposu merupakan antara jenis pokok daripada lebih 60,000 anak pokok yang ditanam pada acara berkenaan.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.
Untuk rekod, PPD Tuaran, JAS Sabah serta pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin-pemimpin masyarakat merupakan rakan kerjasama kepada Pusat Khidmat Rakyat P170 Tuaran selaku penganjur utama.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, aktiviti penanaman itu melibatkan 88 sekolah di daerah Tuaran.
“Kira-kira 29,000 pelajar di seluruh daerah ini telah mengambil bahagian dalam penanaman pokok dengan setiap mereka menanam sekurang-kurangnya dua pokok.
"Pencapaian ini bukan saja memecah rekod kebangsaan, malah penanaman tumbuh-tumbuhan tradisional tersebut juga mampu menahan hakisan tanah dan mengurangkan risiko banjir," katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Hari Bumi Tuaran 2025.
Selain aktiviti penanaman pokok, program itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk gerai pameran alam sekitar, penyampaian hadiah bagi Pertandingan Melukis Poster serta Pertandingan Mencipta Video Alam Sekitar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Malangang, Kiulu.
Dalam ucapannya, Huang Tiong menyatakan sokongan penuh terhadap sambutan Hari Bumi.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 sebagai tanda sokongan terhadap program berbetuk kelestarian berkenaan.
Pada tahun lalu, program yang sama mencatatkan penanaman sebanyak 21,000 di daerah Tuaran.