Hari Kanak-kanak di SJK (C) Chung Hwa, Kota Belud disambut meriah
5 Oktober 2024
KOTA BELUD: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Chung Hwa Kota Belud sekali lagi mencuri perhatian dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah 2024 yang berlangsung penuh meriah semalam.
Bertemakan Fun Fair: "Today is your day! Let's enjoy every moment!", program ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik dan menghiburkan.
Pada tahun ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Pusat Sumber Sekolah berganding bahu dengan Tobiko Event Planner bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar dan mencipta memori indah buat murid-murid.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Encik Erfairiziee Deraman, dari Unit Pembangunan Bakat Murid dan Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud.
Acara kemuncak program ini adalah persembahan sulap yang dibawakan oleh Tobiko Event Planner, di mana murid-murid dihiburkan dengan persembahan magic show yang memukau.
Selain itu, terdapat pelbagai gerai makanan yang menyediakan hidangan seperti aiskrim, roti canai, dan kuih penjaram yang diberikan secara percuma kepada para murid. Tidak ketinggalan, konsep potluck turut diadakan di mana murid membawa hidangan masing-masing untuk dinikmati bersama-sama dalam suasana penuh kemesraan.
Murid-murid dari tahap 1 dan tahap 2 juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan, antaranya 'face painting' dan 'balloon twisting' yang pastinya menambah keceriaan pada hari istimewa ini.
Sambutan bertemakan pakaian "Twin or Triplet" ini turut menambah keceriaan apabila murid-murid tampil dengan pakaian seragam bersama rakan-rakan mereka.
Dalam ucapan perasmiannya, Guru Besar SJK (C) Chung Hwa, Chin Nyok Yen @ Evolyn, menekankan bahawa sambutan Hari Kanak-Kanak ini bertujuan memberikan kebahagiaan dan keseronokan kepada murid-murid.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini adalah platform yang baik untuk membentuk sikap tolak ansur, kerjasama, serta saling menghormati di kalangan murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Tambah beliau lagi, program sebegini penting untuk memperkukuh jati diri murid-murid, melatih mereka menjadi individu yang bersyukur, berdaya saing, dan berfikiran positif, di samping membantu mereka mencapai keseimbangan dari segi fizikal, mental, dan emosi.
Beliau turut berharap agar program ini dapat mengeratkan hubungan antara pihak pentadbir, guru-guru, Lembaga Pengurusan Sekolah, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mewujudkan sebuah komuniti yang harmoni dan MADANI.
Sempena majlis ini, empat orang murid telah dianugerahkan sebagai Tokoh Kanak-Kanak 2024, iaitu adik Breanda Adell Michael, Corrine Hijanah Lasgan, Destiny Eve Denise Pasqual dan Daylonny Cayn Janior Frigillana.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka di peringkat sekolah.
Komentarze