nabalunews
Hari Keluarga generasi Gondidig dapat sokongan Ewon
22 Disember 2024
KOTA BELUD : Sempena sambutan Hari Keluarga Generasi Gondidig yang bakal berlangsung pada 27 Disember ini di Dewan Masyarakat Kampung Tambatuon Kota Belud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan ikhlas sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran majlis tersebut.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri KUSKOP, Rizoh Bosorong, kepada Wolbote Saringan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambatuon.
Menurut Wolbote, sumbangan tersebut adalah hasil permohonan rasmi yang telah dihantar oleh Pengerusi Hari Keluarga Generasi Gondidig, Pitah Darusin, kepada Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian.
Surat itu turut menjemput Ewon sebagai perasmi majlis keluarga yang akan menghimpunkan generasi besar Gondidig.
“Kami bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Ewon yang sentiasa menyokong aktiviti komuniti seperti ini. Sumbangan ini sangat bermakna dalam menjayakan Hari Keluarga kami,” ujar Wolbote semalam ketika menerima sumbangan tersebut.
Wolbote mewakili seluruh generasi Gondidig turut menyatakan harapan agar Ewon dapat hadir dan memeriahkan majlis tersebut. Namun, beliau memahami jadual padat ADUN Kadamaian, lebih-lebih lagi pada bulan Disember yang padat dengan perayaan Krismas.
“Kami faham kesibukan beliau, tetapi sokongan dan keprihatinan beliau sudah cukup memberikan semangat kepada kami semua. Disember juga merupakan bulan Krismas yang tentunya diraikan bersama keluarga masing-masing,” tambahnya.
Katanya sumbangan daripada Ewon membuktikan komitmen beliau untuk terus menyokong aktiviti komuniti dan usaha merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.
"Hari Keluarga Generasi Gondidig dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara generasi serta memelihara tradisi kekeluargaan yang telah lama wujud," kata Wolbote.
Comments