Hari Keluarga KRT Kampung Kaung Ulu Meriah Dengan Pelbagai Aktiviti
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_7d819d86086c4b1787be8d4242874dc8~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_7d819d86086c4b1787be8d4242874dc8~mv2.jpg)
15 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Hari Keluarga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kaung Ulu berlangsung meriah di Dewan Komuniti dengan pelbagai aktiviti.
Majlis ini disempurnakan Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Caryle Lajimin, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Caryle dalam ucapannya berkata, keakraban dan perpaduan komuniti dalam membangunkan kawasan setempat.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_1ab913adb9044979801867fb8e00bc82~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_1ab913adb9044979801867fb8e00bc82~mv2.jpg)
Katanya, penglibatan orang ramai dalam aktiviti kemasyarakatan penting agar mereka memahami dan peka peranan masyarakat setempat.
“Program-program melibatkan komuniti amat penting bagi memberikan impak yang positif dalam mengekalkan keakraban dan perlu dipergiatkan lagi dari masa ke semasa.
“Melalui program seperti ini juga akan mendorong masyarakat setempat melibatkan diri selain dapat menjana pendapatan kepada para peniaga kecil,” katanya
Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kaung Ulu, Geofrey Magaran dan beberapa pemimpin komuniti.
Sementara itu, Pengerusi penganjur, Maslinda Gisil turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan memberikan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, inisiatif itu bukan sekadar mengeratkan hubungan antara penduduk, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk berkongsi kegembiraan dalam suasana santai.
“Acara ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, cabutan tiket bertuah, serta Bazaar KRT yang menampilkan jualan produk tempatan.
“Para penduduk juga menikmati hidangan secara potluck yang menambahkan lagi kemesraan dalam suasana kekeluargaan,” katanya.
Menurutnya, hari keluarga KRT Kampung Kaung Ulu itu berjaya mencapai objektifnya dalam mengukuhkan semangat perpaduan.
Selain itu katanya, ia memberikan peluang kepada penduduk untuk bersantai dan bergembira bersama keluarga serta jiran tetangga.
Comments