top of page
  • nabalunews

Hari Malaysia 2024 disambut meriah di Kota Kinabalu


17 September 2024


KOTA KINABALU: Lebih 40,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah, semalam.


Tirai acara bersejarah ini dibuka dengan persembahan Tarian Sambut Tamu Heart of Sabah yang memaparkan kepelbagaian kaum di Sabah.


Tema “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” juga diterjemahkan menerusi elemen-elemen kreatif pertunjukan hologram dan persembahan bunga api.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan acara simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024.


Upacara memotong kek Hari Malaysia 2024 pula disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M. Jasni.


Kemeriahan acara disemarakkan dengan perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Tahun 2024 dengan membawa Jalur Gemilang yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerangan Sabah dan seterusnya upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.


Turut diadakan persembahan “Rumah MADANI Jiwa Merdeka” yang memfokuskan nilai-nilai patriotisme, kemerdekaan dan perpaduan sebagai terjemahan kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia.


Persembahan ini melibatkan lima segmen utama iaitu Negaraku, Perpaduan, Dinamik Kemajuan, Transformasi Negara dan Jiwa Merdeka yang diselaraskan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.


Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024; Menteri-menteri Kabinet, kepimpinan kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak.

Comments


bottom of page