top of page

Hari Rumput Laut Sedunia: Tiga hari menyelam tanam rumput di dasar laut

nabalunews

2 Mac 2025


SEMPORNA: Lapan individu sanggup menyelam selama tiga hari berturut-turut untuk melakukan projek menanam rumput di dasar laut di Pulau Bohayan di sini, sempena sambutan Hari Rumput Laut Sedunia.


Kerja-kerja penanaman rumput dari spesies Enhalus Acoroides, Halodule Uninervis, Thalassia Hemprichii yang bermula sejak Khamis lalu itu dilakukan selama tiga jam setiap hari pada kedalaman tiga meter di dasar laut.


Projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Jetama Sdn Bhd (Jetama) melalui insiatif di bawah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan Persatuan Pelancongan Semporna, Dive Master Association dan masyarakat setempat itu adalah sebagai usaha untuk memulihara ekosistem marin di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, pelaksanaan projek itu adalah merupakan kesinambungan inisiatif yang pernah dilaksanakan sebelum ini pada tahun lalu.


"Projek ini tujuan lainnya adalah bagi menyahut seruan kerajaan negeri Sabah dalam memelihara ekosistem karbon biru selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Ia juga merupakan kesinambungan daripada Program Penanaman Rumput Laut Jetama yang dilaksanakan di Pulau Sepangar, Kota Kinabalu, pada September lalu," katanya selepas projek itu dilaksanakan pada Sabtu.


Katanya lagi, Jetama akan terus komited memperkukuhkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui projek penanaman rumput laut di negeri ini.


"Ia diharap ia akan dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada industri pelancongan dan komuniti maritim tetapi juga akan menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan karbon dioksida dan mengekalkan keseimbangan ekosistem laut," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa rumput laut turut memainkan peranan penting dalam memerangkap karbon biru, dengan keupayaan menyerap dan menyimpan karbon dioksida dari atmosfera serta perairan pesisir pantai lebih efektif daripada hutan daratan.


"Selain itu, ia juga memberi manfaat sebagai sokongan kestabilan ekosistem marin dengan menapis air laut dan mengurangkan hakisan pantai.


"Namun, rumput laut kini terancam akibat pembangunan pesisir, pencemaran dan aktiviti perikanan berlebihan," katanya.


Sehubungan itu, Ahmad Naim berkata, usaha pemuliharaan amat penting kerana ia turut menjadi habitat utama bagi hidupan laut seperti ikan, penyu dan hidupan makro marin.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page