Hari Sukan Negara 2024: Keningau dipilih sebagai tuan rumah
14 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Daerah Keningau telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) peringkat Negeri Sabah, yang akan diadakan pada 12 Oktober nanti.
Selain daripada Keningau, acara tahunan ini juga akan diadakan serentak di lima daerah lain, termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, dan Beaufort.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, menyatakan bahawa tema HSN tahun ini adalah “Cergas Bersama,” dengan sasaran penyertaan lebih daripada 500 ribu orang.
Acara ini akan menampilkan konsep Malaysia Madani Sukan Baharu dan Sukan Rakyat, yang bertujuan untuk mempromosikan kesejahteraan dan prinsip saling menghormati dalam kalangan rakyat.
“Selain itu, kita juga menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan untuk membudayakan gaya hidup sihat melalui pelaksanaan program yang menyeluruh dan komprehensif,” kata Ellron selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk HSN 2024 Negeri Sabah, baru-baru ini.
Ellron turut menekankan bahawa fokus penganjuran HSN2024 akan melibatkan golongan warga emas, veteran, rakan muda, orang kelainan upaya (OKU), wanita, dan kanak-kanak.
“Beberapa program utama seperti larian untuk negara, senamrobik, berjalan ria MADANI, serta aktiviti bersesuaian di daerah-daerah berkenaan akan diadakan. Sukan tradisional juga akan diperkenalkan supaya golongan muda dapat mengenalinya dan mempelajarinya agar tidak hilang ditelan zaman,” tambahnya.
Acara yang akan diadakan di Kompleks Sukan Keningau ini dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Selain itu, Ellron turut memaklumkan bahawa persiapan kontinjen Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) sedang berjalan dengan baik, dengan beberapa atlet kini menjalani latihan intensif di Sarawak.
"Diharapkan semua atlet Sabah akan menunjukkan disiplin yang tinggi, tidak memandang rendah pasukan lain, dan memberikan saingan yang hebat kepada lawan masing-masing," ujarnya.
Comentários