Hari Wanita serlahkan sumbangan besar wanita – Ewon

9 Mac 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Hari Wanita setiap tahun menyerlahkan lagi sumbangan besar golongan wanita dalam pembangunan negara.
Beliau berkata, pengorbanan dan kepimpinan wanita bukan sahaja terbatas kepada peranan sebagai ibu tetapi mereka juga memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang membantu menyumbang kepada kemajuan negara.
“Wanita bukan sekadar pengiring kepada pemimpin, tetapi mereka juga boleh menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan awam, korporat dan politik.
“Banyak kisah kejayaan wanita dalam kepimpinan negara dan juga sektor keusahawanan, sebab itu sambutan Hari Wanita amat penting sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Pergerakan Wanita Pakatan Harapan (PH), di Hotel Raia, di sini, semalam.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk usahawan wanita melalui agensi-agensinya.
“Antaranya Skim Pembiayaan Ikhtiar oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita (TekunNita), Program BRPlus-I BizLady oleh Bank Rakyat, Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh Pernas dan Program UDA Biznita oleh UDA Holdings Berhad,” katanya.
Beliau berharap wanita-wanita PH Sabah dapat membantu memastikan semua inisiatif keusahawan khusus untuk wanita dapat disampaikan kepada ahli-ahli atau masyarakat secara keseluruhannya di negeri ini.
“Sekiranya Pergerakan Wanita PH Sabah memerlukan taklimat khusus mengenai skim-skim pembiayaan khusus untuk wanita, ketua-ketua wanita boleh memohon supaya sesi taklimat diadakan.

“Dalam hal ini saya sedia memberikan sokongan bagi memastikan semua inisiatif kementerian sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Ewon yang juga Pengerusi PH Sabah dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menghargai usaha Wanita PH Sabah menganjurkan sambutan Hari Wanita, yang dapat menyatukan semua wanita dalam komponen PH.
Dari segi peranan wanita dalam politik, beliau menegaskan bahawa wanita juga mampu memimpin negara termasuk menjadi calon pilihan raya berdasarkan kepimpinan dan ketokohan mereka.
“Dalam UPKO, kita telah mengangkat beberapa calon wanita pada pilihan raya lalu. Saya berharap selepas perbincangan mengenai agihan kerusi dalam PH Sabah selesai, bukan hanya UPKO tetapi parti komponen lain dalam kerajaan turut memberi ruang kepada lebih ramai calon wanita,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa, walaupun ketokohan dan kepimpinan wanita diberi perhatian namun meritokrasi tetap menjadi keutamaan dalam pemilihan calon pilihan raya akan datang.
Comentarios