HARITH ISKANDER, CECELIA YAP DIKOMPAUN RM10,000 SEORANG, KERTAS SIASATAN RADIO ERA AKAN DIKEMUKA KEPADA JABATAN PEGUAM NEGARA

5 Mac 2025
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun RM10,000 terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap.
Kompaun berkenaan dikenakan atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di laman sosial Facebook, pada 18 Januari lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan SKMM hari ini berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Katanya, selepas menerima permohonan daripada SKMM, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
“Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat namun masih dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, SKMM akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
Menurutnya, susulan kes tersebut, SKMM telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.
“Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan dan Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM.
“Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil,” tegasnya.
Comments