Hati-hati pasang lampu hiasan, peralatan elektrik usang, lilin sepanjang musim perayaan – bomba Sabah
23 Disember 2024
KOTA KINABALU: Bersama-sama menjadikan musim perayaan sebagai detik yang penuh keceriaan dan kenangan indah, bebas daripada tragedi dan kesedihan.
Itu ingatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kepada orang ramai supaya tidak alpa dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri, keluarga, dan harta benda di sepanjang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Jainal @ Zainal Madasin berkata, sambutan perayaan bukan sahaja waktu untuk berkumpul bersama keluarga tercinta dan sahabat handai, tetapi juga peluang menyebarkan kasih sayang, keprihatinan, dan semangat kebersamaan.
“Seperti sedia maklum, musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kebakaran dan kemalangan, oleh itu, saya menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk memastikan perayaan ini berlangsung dengan selamat dan harmoni.
“Berhati-hati dengan pemasangan lampu hiasan yang tidak dikawal dengan baik, penggunaan peralatan elektrik yang usang atau lilin yang dibiarkan menyala tanpa pengawasan boleh menjadi punca kebakaran.
“Pastikan semua peralatan elektrik diperiksa, sambungan soket tidak terlebih beban dan suis dimatikan sebelum tidur atau meninggalkan rumah, begitu juga, sekiranya menggunakan lilin untuk hiasan atau ibadah, letakkannya di tempat yang selamat dan jauh daripada bahan mudah terbakar,” katanya seperti dilaporkan Info X.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Musim Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2025 di Ibu Pejabat JBPM Sabah Lintas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak bomba turut memberi perhatian terhadap risiko banjir serta bahaya air dan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dinasihat agar sentiasa memantau laporan cuaca dan amaran daripada pihak berkuasa.
“Jangan sesekali mengambil risiko meredah kawasan yang dinaiki air atau bermain di sungai yang deras, sentiasa utamakan keselamatan ahli keluarga, terutama kanak-kanak, kerana bahaya air boleh membawa maut dalam sekelip mata.
“Semangat keselamatan dan keprihatinan semua memastikan keselamatan diri, keluarga, dan komuniti terjaga, ambil iktibar daripada insiden-insiden terdahulu dan bersama-sama memainkan peranan dalam mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Pihak JBPM sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam sebarang situasi kecemasan, namun usaha pencegahan perlu datang daripada kesedaran kita semua,” katanya.
“Jadikan keselamatan sebagai keutamaan dan utamakan kesejahteraan diri serta keluarga tercinta,” katanya.
Comments