top of page
  • nabalunews

Hebahan kepentingan skim keselamatan sosial suri rumah terus diperhebatkan

7 September 2024


RANAU: Taklimat mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) terus diperhebatkan ke seluruh pelusuk negeri Sabah bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada golongan wanita dan suri rumah mengenai kepentingan perlindungan sosial melalui SKSSR.


Pada 30 Ogos lalu, program "Jelajah Wanita, Bina Wanita Negara Maju" telah diadakan di Mini Dewan Kampung Lasing, Ranau.


Program ini telah dirasmikan oleh Jannie Lasimbang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Kepayan yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Program ini menampilkan Siti Zuleha Harun sebagai penceramah utama, yang menyampaikan taklimat mengenai SKSSR.


Taklimat ini bertujuan memberi kefahaman, penerangan dan kesedaran kepada wanita dan suri rumah tentang mengapa pentingnya mereka mencarum dalam perlindungan sosial melalui SKSSR.


SKSSR telah dilaksanakan oleh PERKESO pada 1 Disember 2022 setelah Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan oleh Parlimen.


Skim ini bertujuan untuk menjaga kebajikan dan melindungi golongan suri rumah apabila berlaku bencana domestik serta apa-apa penyakit yang menjejaskan keupayaan suri rumah dalam menguruskan rumah tangga.

Ini kerana kerajaan mengiktiraf peranan suri rumah dalam ‘care economy’, yang turut membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.


Dalam konteks ini Kementerian Sumber Manusia komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang yang terpinggir dari mendapat perlindungan keselamatan sosial di negara ini, demi kesejahteraan rakyat Malaysia.


Sempena program "Jelajah Wanita, Bina Wanita Negara Maju" ini, satu forum bertajuk "Bina Wanita Negara Maju" turut diadakan, yang dikendalikan oleh YB Jannie Lasimbang sendiri.


Forum ini menampilkan beberapa panelis wanita berpengaruh seperti Georgina George, Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ranau, Bronica Sikula, Ketua Wanita DAP Sepanggar dan Mohina Sidom, Ketua Wanita UPKO serta Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan.


Seramai 100 orang peserta telah menghadiri program ini, di mana mereka bukan sahaja diberikan penerangan tentang SKSSR, tetapi juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat mengenai peranan wanita dalam membina negara agar terus maju.


Dalam program ini, YB Jannie Lasimbang telah membawa berita gembira buat semua yang hadir apabila beliau menaja bayaran perlindungan SKSSR selama setahun untuk 100 orang wanita di Ranau.


Turut hadir dalam program ini ialah Abdul Rahman Ramli, Ketua Cawangan Sinergi, PERKESO Negeri Sabah, yang menyokong penuh inisiatif ini.


Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti jelajah wanita PH, yang bertujuan untuk mendekati golongan wanita di peringkat akar umbi dan menggalakkan mereka menyumbang ke arah pembangunan wanita dan negara.

Comments


bottom of page