top of page
Wartawan Nabalu News

Hentikan serangan ke atas Institusi Kehakiman: Majlis Presiden PH


20 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) terkejut dan amat dukacita dengan siri kenyataan pimpinan tertinggi UMNO yang dilihat menyerang institusi kehakiman.


Dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH itu berkata, serangan-serangan itu semakin menjadi-jadi terutama apabila perbicaraan rayuan Najib Razak (SRC) hampir ke penghujungnya.


“Malah serangan-serangan ini khususnya dari kalangan penyokong UMNO dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara.


“Ugutan mencedera atau membunuh ini adalah kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.


“Oleh itu, PH menyokong kenyataan Ketua Polis Negara bahawa mereka yang ugut mencedera / membunuh Ketua Hakim Negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu, hari ini.


Pakatan Harapan menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut wajib kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.


“Kami turut memberi peringatan tegas bahawa pimpinan parti-parti politik terutama UMNO perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya,” katanya.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amnah) HJ.Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lok Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.

Comments


bottom of page