Himpunan Keadilan: Anwar cabar pembangkang bawa usul tak percaya ke Parlimen
21 September 2024
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang menghantar usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini.
Perdana Menteri berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk melepaskan jawatan.
"Ada 30 orang suruh Anwar turun. Ingat negara dia tak ikut hukum. Nak turunkan sila, saya beri jaminan, ada usul sidang Parlimen pertengahan Oktober (14 Oktober).
"Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.. sempat, kalau lambat pun saya luluskan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia MADANI di Stadium Axiata, Bukit Jalil, semalam.
Sebelum ini, beberapa perwakilan dan pimpinan PAS menuntut Anwar meletak jawatan pada Muktamar Tahunan ke-70 parti berkenaan di Temerloh, minggu lalu.
Ini bukanlah kali pertama beliau mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.
Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Januari lalu dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekan tempoh notis.
Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR itu tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen dengan merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.
Comentarios