Hormati Demokrasi PH Sabah - Jamil Majingkin

21 Disember 2024
KOTA MARUDU: Pemilihan Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu menandakan komitmen teguh terhadap prinsip demokrasi dalam gabungan itu.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) P168 Kota Marudu, Jamil Majingkin dalam satu kenyataan, menegaskan proses pemilihan yang berlangsung dalam suasana harmoni membuktikan sokongan padu daripada semua komponen parti PH Sabah, yang mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan baharu.
"Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PH Sabah yang diadakan baru-baru ini menjadi platform penting untuk memperkukuhkan kesatuan dan semangat kerjasama dalam PH Sabah.
"Pemilihan ini diharapkan membawa nafas baharu dan hala tuju yang lebih segar bagi menghadapi cabaran politik, terutamanya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat," katanya.
Jamil Majingkin menegaskan kepimpinan dan warga UPKO Kota Marudu memberi 100 peratus sokongan penuh kepada Ewon untuk menerajui PH Sabah.
Menurutnya, pelantikan ini membawa harapan besar untuk menggerakkan agenda rakyat dengan lebih berkesan, khususnya menjelang PRN akan datang.
"Kami yakin kepimpinan baharu ini akan memperkukuh strategi dan organisasi parti. Sokongan penuh diberikan kepada Ewon untuk memimpin PH Sabah ke arah kejayaan," katanya.
Bagaimanapun katanya, kenyataan daripada bekas Pengerusi PH Sabah, Christina Liew, yang mempersoalkan keputusan pemilihan mencetuskan sedikit kontroversi.
Christina didakwa cuba memanipulasi persepsi awam dengan menggunakan nama Perdana Menteri (PMX) untuk mempertikaikan hasil pemilihan tersebut.
Menurut Jamil, kenyataan beliau yang menyebut bahawa PKR Sabah mempunyai kuota khas dalam PH Sabah turut menimbulkan reaksi kurang senang daripada pemimpin lain.
"Mereka berpendapat bahawa keputusan demokrasi yang telah dibuat harus dihormati demi kestabilan parti.
"Dalam usaha memperkukuhkan jentera pilihan raya, kepimpinan PH Sabah menyeru semua pihak untuk menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi PRN17. Ini termasuk memperkemaskan strategi dan memperkuat hubungan antara komponen parti di setiap bahagian.
“Kami menolak sebarang usaha untuk mengganggu gugat kepimpinan yang telah dipilih secara sah. Fokus utama sekarang adalah memperkasakan jentera pilihan raya dan membawa agenda rakyat ke hadapan,” tambah pemimpin UPKO Kota Marudu itu.
Bagaimanapun katanya, lawatan beberapa pemimpin PKR Pusat ke Sabah baru-baru ini turut mencetuskan kebimbangan. Mereka diingatkan agar tidak mencetuskan ketegangan yang boleh merosakkan perpaduan dalam PH Sabah.
"Kami mengalu-alukan kehadiran mereka, tetapi jangan sampai tindakan mereka memburukkan keadaan dan melemahkan semangat kerjasama yang telah dibina,” katanya.
Dalam pada itu, UPKO Kota Marudu mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Natal 2024 dan Tahun Baru 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia. Mereka berharap sambutan kali ini membawa kebahagiaan dan harapan baharu untuk semua lapisan masyarakat.
"Kami berharap tahun baharu ini akan membuka lembaran baharu untuk PH Sabah, dengan komitmen untuk memperjuangkan hak rakyat dan memperkukuhkan kedudukan di peringkat negeri," katanya.
"Dengan kepimpinan yang baharu dan semangat kerjasama yang kukuh, PH Sabah diharapkan terus berjuang demi kestabilan politik dan pembangunan rakyat.
"Pemimpin dan penyokong diminta untuk memperkukuhkan solidariti dan menyokong hala tuju baharu parti dalam menghadapi cabaran politik mendatang," katanya.
Comments