top of page
nabalunews

Hospital antara tujuh kawasan diberi keutamaan MCMC selesaikan isu kesalinghubungan internet




26 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kesalinghubungan internet di tujuh kawasan utama, termasuk hospital, demi memperkasakan aplikasi perubatan yang bergantung kepada prasarana teknologi 5G.

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa beberapa hospital kerajaan kini menghadapi masalah liputan di dalam bangunan dan kekurangan prasarana 5G yang penting untuk sektor perubatan.

 

"Ya..kita semua hopital awam, hospital kerajaan kita sedang berusaha untuk menyelesaikan dua perkara. Yang pertama 'inbuilding coverage' ini adalah untuk mudah alih yang mana di kawasan sana contoh Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), terdapat sesetengah blok atau tingkat, dan mungkin juga wad, menghadapi masalah internet. Begitu juga di hospital Serdang, jadi pertama kita kena menyelesaiakan asas," kata Fahmi.

 

Fahmi berkata demikian kepada media selepas menghadiri Persidangan MIH Megatrends 2024 di Kuala Lumpur, di mana isu kesalinghubungan dalam sektor kesihatan turut dibincangkan.

 

Di persidangan tersebut, beliau menekankan kepentingan aplikasi canggih, termasuk penggunaan Holo Lens untuk pakar perubatan serta teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pengurusan pengesahan janji temu hospital.

 

Menurut Fahmi, kehadiran 5G juga penting memandangkan rangkaian Malaysia mencatatkan kelajuan muat turun median 451.79Mbps pada suku keempat 2023, lebih baik berbanding negara jiran.

 

Tambah beliau, rangkaian 5G Malaysia menunjukkan konsistensi tertinggi di peringkat global dengan skor 97.3 peratus.

 

Comments


bottom of page