Hospital Kota Belud anjurkan Majlis Krismas 2024 dan Tahun Baru 2025
21 Disember 2024
KOTA BELUD: Hospital Kota Belud dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) dan Sedafiat Sdn. Bhd. menganjurkan sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baru 2025.
Majlis ini diraikan dengan penuh semangat perpaduan yang mencerminkan keharmonian masyarakat pelbagai budaya dan agama di Sabah.
Acara yang berlangsung pada Jumaat, bertujuan menghargai kakitangan beragama Kristian di hospital itu sambil mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat tanpa mengira latar belakang keagamaan.
Pengerusi penganjur, Dr. Edna Peter, merakamkan penghargaan kepada ALPH, atas sumbangan besar mereka. Beliau menekankan bahawa program seperti ini memupuk semangat persaudaraan dan meraikan keunikan masyarakat Sabah.
“Ini adalah bukti perpaduan dan keharmonian masyarakat kita. Krismas tidak hanya diraikan oleh satu pihak tetapi menjadi simbol kerjasama antara pelbagai agama dan budaya di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Kota Belud, Dr. Mohd. Syahfadzreen Yunus, mengucapkan terima kasih kepada ALPH atas inisiatif penting seperti kempen derma darah. Program ini sangat diperlukan memandangkan kekurangan bekalan darah di hospital.
“Saya berharap kepimpinan ALPH diteruskan untuk tahun akan datang kerana banyak lagi perancangan kolaboratif yang akan memberi manfaat kepada masyarakat Kota Belud. Majlis seperti ini mencerminkan keindahan perpaduan di Sabah,” ujarnya.
Pengerusi ALPH, Carlye Lajimin, pula menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan empat program utama tahun ini, termasuk kempen derma darah. Beliau berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa depan.
“Kerjasama erat antara pihak hospital, ALPH, dan komuniti setempat amat penting. Harapan saya adalah agar kita dapat menganjurkan lebih banyak program tahun depan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan koir oleh kakitangan Hospital Kota Belud dan sesi cabutan nama bertuah. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menambah kemeriahan tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim antara semua pihak yang hadir.
Bagi kakitangan Hospital Kota Belud, sambutan ini membuktikan bahawa perpaduan masyarakat Sabah kekal utuh dan menjadikan negeri ini contoh teladan kepada seluruh negara.
Comments