top of page
  • nabalunews

Hospital UMS Dijangka Beroperasi Januari 2026


17 September 2024


KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), yang kini dalam fasa pembinaan, dijangka memulakan operasinya pada Januari 2026, menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.


Beliau berkata, anggaran ini dibuat berdasarkan jadual penyempurnaan kerja-kerja pembinaan yang dijangka selesai pada Disember tahun hadapan.


Hospital ini, dengan kapasiti 400 katil, dijangka akan membantu mengatasi masalah akses kepada perkhidmatan kesihatan yang dialami oleh masyarakat di Sabah.


"Dengan adanya HUMS, ia bakal memberi impak besar dalam menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat setempat dan turut meningkatkan ekonomi negeri Sabah, khususnya dari segi pendapatan fiskal," kata Zambry dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau.


Beliau berkongsi perkembangan terkini mengenai pembinaan hospital tersebut selepas melakukan tinjauan ke tapak projek di kampus induk UMS, semalam.


Dalam tinjauan itu, beliau turut menerima taklimat daripada pihak pengurusan HUMS dan wakil syarikat konsesi yang bertanggungjawab ke atas projek berkenaan.


"Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh, Pengarah HUMS, dalam taklimatnya menjelaskan bahawa hospital ini akan menyediakan lebih daripada 400 katil wad, dengan pelbagai perkhidmatan perubatan untuk menangani pelbagai jenis penyakit," ujar beliau.


"Saya juga berkesempatan melawat kawasan tapak projek untuk melihat sendiri perkembangan fizikal pembinaan hospital ini. Alhamdulillah, banyak kemajuan yang telah dicapai dan insya-Allah, hospital ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025 dan mula beroperasi pada Januari 2026," tambahnya lagi.


HUMS yang dibina dengan kos RM652 juta, akan dilengkapi dengan 400 katil, 25 dewan bedah, 12 unit bersalin, serta pelbagai kemudahan perubatan moden yang lain.


Hospital ini dijangka menjadi pusat perubatan utama bagi masyarakat sekitar dan menyumbang kepada peningkatan taraf kesihatan di Sabah.

Comments


bottom of page