top of page
nabalunews

Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air, Terowong SMART ditutup pagi tadi


15 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota dinaiki air, sekali gus menjejaskan aliran trafik di beberapa jalan utama.

 

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Integrated Transport Information System (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta perkongsian di media sosial, antara jalan yang terjejas termasuk Jalan Parlimen menghala ke Bukit Aman, Jalan Perak, dan Lebuhraya Sultan Iskandar.

 

Menurut laporan Bernama, tinjauan juga mendapati laluan masuk ke Kuala Lumpur dari arah Jalan Tun Razak turut mengalami banjir kilat.

 

Sistem penggera keselamatan di Sungai Bunus turut berbunyi, menandakan paras air telah mencapai tahap bahaya.

 

Sementara itu, laman X Smart Expressway mengumumkan penutupan sepenuhnya Terowong SMART bagi pengguna, kerana operasi banjir sedang dijalankan.

 

“Pengguna Terowong SMART dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati. Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan lalu lintas,” menurut kenyataan tersebut.

Коментарі


bottom of page