top of page
  • nabalunews

Hutan Simpan Bukit Leila kembali dikunjungi ramai selepas pemansuhan caj masuk

16 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Hutan Simpan Bukit Leila di sini, kini kembali dikunjungi orang ramai bagi aktiviti riadah dan mendaki bukit sambil menikmati keindahan alam dan meluangkan masa berkualiti bersama.


Sebelum ini kawasan berkenaan sepi selepas Jabatan Perhutanan Sabah mengenakan caj yuran untuk mendaki di Hutan Simpan Bukit Leila sekaligus menimbulkan rungutan penggemar aktiviti mendaki bukit.


Kini yuran itu sudah dimansuhkan atas usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin yang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perhutanan Sabah mengenai caj yuran berkenaan.


Sabtu lalu, George telah menghubungi Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, untuk menyampaikan harapan penduduk tempatan dan pendaki agar yuran masuk ke Hutan Simpan Bukit Leila dimansuhkan.


Hasil perbincangan itu, yuran berkenaan telah dibatalkan serta-merta oleh jabatan itu.


Penggemar aktiviti mendaki bukit di daerah ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada George.


Pemansuhan yuran caj itu mengembalikan suasana ceria di Hutan Simpan Bukit Leila yang kini kembali dengan kehadiran ramai kalangan ahli keluarga dan pendaki untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam dan meluangkan masa berkualiti bersama.


Sebagai tanda sokongan kepada keputusan itu, George turut mengetuai sekumpulan penggemar aktiviti mendaki bukit untuk mendaki Bukit Leila, Sandakan, petang semalam.


George menjadi individu pertama yang mendaftar di kaunter pendaftaran yang baru ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan yang bertujuan untuk merekodkan masa keluar masuk pendaki untuk memastikan keselamatan mereka di kawasan hutan simpan berkenaan.


George berharap masyarakat juga menjaga kebersihan di kawasan hutan simpan berkenaan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan dari masa ke masa.

Comments


bottom of page