Ibarat nyawa dihujung tanduk, murid sekolah terpaksa seberang sungai guna batang paip
29 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Ibarat nyawa dihujung tanduk, melihat beberapa pelajar sanggup membahayakan nyawa menyeberang sungai menggunakan batang paip untuk ke sekolah.
Kejadian yang berlaku di Kampung Mansiang Baru, di sini sempat dirakam oleh seorang netizen yang kemudian memuat naik video itu ke media sosial baru-baru ini.
Dalam rakaman itu, seramai enam pelajar sekolah rendah dilihat meniti sebatang paip air untuk menyeberangi sungai yang mengalir deras berikutan hujan lebat.
Apa yang merisaukan, keadaan air sungai yang dalam dan deras boleh mengundang bahaya jika ada yang tergelincir ketika meniti batang paip itu.
“Kejadian di Kg Mansiang Baru, Sabah. Sungai deras macam itu, kalau pandai berenang pun bahaya. Gaji Ketua Menteri Sabah baru naik dari RM23,585 kepada RM33,033 sebulan. Tapi anak-anak Sabah kena panjat paip lintas sungai. Apa nak jadi ni? Kata kapsyen tweet video yang dimuat naik di Twitter itu.
Video berdurasi 92 saat itu mengundang pelbagai reaksi warga net yang rata-rata marah dengan keadaan itu.
“Bro, air sungai deras macam F1 ni, rasanya Michael Phelps pun lemas! Memang sedih silu tengok budak-budak sekolah ini terpaksa menghadapi risiko sebegini! Takkan takde seorang pun menteri Sabah yang memberi perhatian terhadap isu ini. Tolong buat sesuatu. Mungkin kutip derma untuk buat jambatan!
“Kerajaan negeri Sabah mana? Masa PRN dulu masa covid tengah teruk pun sanggup buat. Sekarang semua jadi bangang ke?
“Usul naik gaji ‘ON’ usul bina jambatan ‘NO’ banyak kos kene keluar duit. Kalau ada pun 50 Juta jambatan kayu lebih projek.
“Sabah memang banyak ketinggalan sama ada dari segi infra, mahupun education. Peruntukan banyak turun dari ‘Pusat’. Tapi entahlah sejauh mana ianya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk rakyat,” demikian luahan para netizen di ruangan komen tweet video tersebut.
Difahamkan kampung berkenaan terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, dalam Parlimen Pensiangan yang diwakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Bagaimanapun, penduduk kampung telah membuat permohonan untuk membina jambatan gantung tersebut tetapi mendakwa tiada perkembangan lanjut.
Sementara itu dalam laporan Harian Express, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng, sebuah jambatan gantung akan dibina menyeberangi sungai Biah di kampung tersebut.
Jelas beliau, projek jambatang gantung itu memang ada di dalam senarainya dan pembinanaannya akan dilaksanakan.
Menurutnya, waran peruntukan sudah diperoleh, tetapi ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembinaan dimulakan.
Jika semua berjalan dengan lancar, beliau berkata, jambatan tersebut akan dibina dalam tempoh dua minggu.
Comments