top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Ibu bapa masih ragu-ragu hantar anak ke sekolah



22 November 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kebanyakan ibu bapa masih bimbang penularan Covid-19 di kalangan pelajar sekolah, sebab itu ada diantara mereka memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah yang mula dibuka pada hari ini.


Bagi ibu bapa yang membenarkan anak mereka kembali ke sekolah hari ini, mereka menaruh keyakinan tinggi terhadap pihak pengurusan sekolah supaya dapat mewujudkan persekitaran selamat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


Seorang kakitangan swasta, Dgku Hajjah Kasnita Haji Mohd Kenit berkata, sebagai ibu bapa kerisauan anak-anak terdedah kepada jangkitan Covid-19 sentiasa ada, namun ibu bapa tidak mahu anak-anak ketinggalan dalam pelajaran.

Dgku Hajjah Kasnita

“Setakat mana juga kita sebagai ibu bapa yang bekerja dapat memantau pelajaran anak-anak sekiranya kita bekerja? Menuju ke arah fasa endemik kita terpaksa menerima bahawa Covid ada disekeliling kita.


“Kita kenalah mengamalkan SOP yang ketat, lebih berhati-hati seperti saranan KKM, selalu membasuh tangan, penjarakan sosial dan menggunakan pelitup muka.


“Disamping itu, anak-anak juga disaran untuk terus mandi sebaik pulang dari Sekolah,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Beliau yakin pihak sekolah semestinya sudah bersiap sedia memastikan murid sekolah rendah yang belum mendapat vaksin sentiasa mengamalkan SOP bagi mengelak jangkitan Covid-19.


“Saya percaya guru-guru sentiasa mengawasi dan memantau penjarakan murid di dalam kelas dan pergerakan mereka dalam sekolah,” katanya.


Sementara itu Molly Gunang juga risau anak-anaknya terdedah kepada virus Covid.


“Memang risau, sebab itu sebelum pergi sekolah saya mengingatkan mereka supaya sentiasa mematuhi SOP, sentiasa pakai pelitup muka, guna hand sanitizer, kerap cuci tangan dan penjarakan social semasa berada di sekolah.


“Berfikir juga tidak mahu hantar anak-anak ke sekolah sebab bimbang penularan jangkitan terutamanya kes-kes tidak bergejala tetapi pada masa yang sama saya juga bimbang mereka ketinggalan dari segi pelajaran.

Theodosia dan Eupresia

“Hanya doa mengiringi mereka semoga bila di sekolah mereka sentiasa mematuhi SOP,” kata Molly, ibu kepada Theodosia (Tahun 4) dan Eupresia (Tahun 2) yang bersekolah di SK Togop Tuaran.


Molly berkata, kedua anaknya begitu bersemangat kembali ke sekolah sebab sudah bosan belajar secara online di rumah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.


“Mereka bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bersiap-siap pergi sekolah. Sebelum sekolah dibuka, mereka biasanya bangun jam 7 pagi,” katanya.


Xavier Joo Kehit sependapat dengan ibu bapa yang lain, walaupun bimbang kes-kes sporadik dan kes tidak bergejala Covid-19, namun anak-anak perlu ke sekolah.


“Belajar di rumah dan di sekolah amat berbeza. Lebih mudah bagi mereka memahami apa yang guru ajar dalam kelas secara bersemuka daripada belajar sendiri di rumah.


“Sebab itu, sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mengingatkan anak-anak kita supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mematuhi SOP,” katanya.


Bagi ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah buat masa ini, mereka berharap pihak sekolah tidak menganggap ia sebagai kesalahan disiplin.


“Kes positif Covid-19 di Sabah yang dilaporkan setiap hari masih lagi tinggi. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah buat sementara waktu.


“Anak-anak saya belum layak divaksin (Tahun 2 dan Tahun 3) sebab itu saya tidak menghantar mereka ke sekolah pada masa ini sehingga kes Covid di Sabah menurun sehingga 100 kes ke bawah,” kata Stella Joe dari Kota Kinabalu.


Beliau berharap, murid-murid yang tidak hadir ke sekolah kerana ibu bapa tidak menghantar mereka tidak dianggap kesalahan disiplin.


Bagi Julianah Dominik, dia sendiri menulis surat kepada pengetua meminta kebenaran anaknya belajar secara online di rumah dalam tempoh dua minggu.


“Saya risau sekiranya ada pelajar lain di sekolah yang menjadi pembawa atau kontak rapat pesakit Covid-19 tetapi mereka tidak bergejala.


“Kes Covid di daerah saya meningkat, di kampung-kampung berhampiran pun ramai yang dijangkiti Covid-19 … keadaan seperti itu merisaukan saya.


“Sebab itu saya menulis surat kepada pengetua sekolah, meminta kebenaran anak saya belajar secara online di rumah,” katanya dan akan membenarkan anaknya kembali ke sekolah pada tahun depan.



Comments


bottom of page