top of page
nabalunews

Ibu bapa turut memainkan peranan dalam menaikkan taraf Tabika Perpaduan: Ellron 



Ellron menyampaikan sijil dan anugerah kepada salah seorang kanak-kanak Tabika Perpaduan yang cemerlang pada majlis itu.

14 Januari 2025


Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Para ibu bapa turut memainkan peranan dalam menaikkan taraf Tabika Perpaduan melalui penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Tabika tersebut.


Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, ia hampir sama peranan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terdapat di sekolah namun ia lebih tertumpu untuk pembangunan murid serta penglibatan masyarakat setempat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada kelas Tabika Perpaduan dengan mengadakan pelbagai program mengikut kesesuaian.


Katanya, para ibu bapa menjadi tulang belakang kelas Tabika Perpaduan merupakan insan yang cemerlang kerana membantu mendidik anak masing-masing bersama guru-guru dalam memastikan anak-anak tidak tercicir dari dunia pembelajaran.


Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Program Pintar Kreatif dan Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Peringkat Daerah Keningau tahun 2024/2025 di dewan Tun Sakaran, Institut Pengajian Islam Dan Dakwah di sini baru-baru ini.


"Maka itu, pelbagai program tambahan juga dilaksanakan oleh pihak jabatan untuk memastikan momentum pendidikan terus diberikan kepada anak-anak kita. Salah satunya seperti gabungan dua program iaitu Pintar Kreatif dan Konvokesyen Kanak-Kanak pada hari ini" jelasnya.


Beliau berkata, program pintar kreatif adalah untuk mencungkil bakat terpendam dalam diri anak-anak.


Katanya, Tabika Perpaduan bukan sekadar tempat belajar tetapi ia merupakan sebuah rumah kedua di mana anak-anak dibentuk untuk menjadi insan yang pintar, berakhlak mulia dan kreatif.


"Di sinilah guru-guru yang berdedikasi telah mencurahkan ilmu dan kasih sayang untuk membantu mereka mengembangkan bakat dan potensi masing-masing" tambahnya.


Pada masa sama Ellron menghargai usaha barisan pengelola program yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Zon Pedalaman Atas serta guru-guru dan penolong guru khususnya dan semua ibu bapa yang terlibat dalam menjayakan program ini.


Ellron turut berpesan agar masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini menjaga kemakmuran serta keharmonian bagi memastikan perpaduan sentiasa terpelihara.

Comments


bottom of page