top of page
nabalunews

Ibu maut, anak cedera parah dirempuh keretapi


19 November 2024


PUTATAN: Seorang wanita maut manakala anaknya cedera parah dirempuh keretapi ketika cuba melintas landasan keretapi di Kampung Petagas, Putatan, tengahari tadi.


Mangsa, berusia 41 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Manakala anak lelakinya berusia 11 tahun, putus kaki serta cedera di tangan dan kepala dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I Kota Kinabalu oleh ambulans.


Ketika kejadian, keretapi itu dilaporkan dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu sebelum merempuh mangsa yang ketika itu dilaporkan cuba melintasi landasan keretapi.


Akibat rempuhan, mangsa dikatakan diseret keretapi sejauh kira-kira 20 meter.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam

1.58 petang tadi.


Katanya sepasukan 7 pegawai dan anggota dari BBP Putatan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 5 kilometer dari balai.


"Kejadian melibatkan dua orang mangsa iaitu seorang wanita dewasa berumur 41 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki

11 tahun yang telah dirempuh ketika sedang melintas di landasan kereta api yang sedang menuju ke Kota Kinabalu dari daerah Beaufort.


"Dilaporkan, wanita dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak lelaki mengalami cedera parah dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.


"Pasukan Bomba melakukan pembersihan di lokasi kejadian dan membantu mengangkat jenazah mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Operasi bomba ditamatkan jam 2.47 petang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu dan berkata, pegawai penyiasat sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Comments


bottom of page