top of page

Ibu maut, anak selamat dalam kejadian tanah runtuh

nabalunews

5 Mac 2025


KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Lok Bono, Jalan Sepanggar, di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Sitti Harija Norulla, 53, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus dengan tanah runtuh yang meranapkan rumahnya.


Anak mangsa, Zulkiman Ibun, 25, berkata, sebelum kejadian, mereka berdua baru selesai bersahur bersama sebelum terdengar bunyi kuat.

Bagaimanapun, katanya, sebaik cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran kuat sehingga mangsa tercampak ke luar rumah.


“Saya cuba menarik tangan ibu untuk keluar namun gegaran sangat kuat dan terus tercampak. Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari lokasi asal.


“Selepas itu, saya cuba mencarinya sebelum menemui ibu dalam timbunan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, dia dan penduduk kampung cuba mengeluarkan ibunya namun terlalu sukar dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.32 pagi.


Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku hakisan tanah runtuh dan menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 14 meter persegi yang musnah sepenuhnya.


“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang iaitu wanita berusia 53 tahun tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.


“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.


Menurutnya, kerja-kerja pemantauan di lokasi masih giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page