top of page
  • nabalunews

ICU JPM belanjakan hampir RM10 juta, beri manfaat kepada 19,169 Isi Rumah



Samsul (kedua dari kiri) bersama penerima bantuan pada program itu di Nabawan

23 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membelanjakan hampir RM10 juta di bawah program Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI yang memberi manfaat kepada 19,169 isi rumah yang berdaftar dengan sistem eKasih sejak 2019 sehingga kini di seluruh negara.


Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Samsul Dollah berkata, bagi tahun 2024 di Sabah seramai 610 isi rumah masing-masing menerima pelbagai bantuan di bawah inisiatif program berkenaan.


Antaranya program Didik Kasih: Peranti Madani (PERMAI) dan Program Usaha Kasih: Peningkatan Pendapatan (uKasih), program Ziarah Kasih Ihsan Ramadan (ZiKiR), Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha, Kembali ke Sekolah, Kasih Siswa, Jelajah IKRaM dan Umrah Impian dan juga Program dKasih Bantuan Peralatan Komputer Riba (PERMAI).


Katanya, ini melibatkan sumbangan melebihi RM100,000 bersama rakan strategik iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad sebagai penyumbang dana yang mensasarkan golongan pelajar dan peniaga kecil-kecilan sebagai penerima sumbangan.


Samsul berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan di bawah program ini bagi daerah Nabawan.


Katanya, melalui inisiatif ini, pihak ICU JPM dan kesemua agensi pemberi bantuan perlulah mengutamakan mereka yang telah berdaftar di dalam sistem ini seterusnya menyokong usaha kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar menjelang penghujung tahun ini.


Jelasnya pada 17 hingga 21 September ini, pihak ICU JPM melalui Pejabat Pembangunan negeri Sabah melaksanakan jelajah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI.


Ia melibatkan 2 program iaitu Program Didik Kasih: Peranti Madani (PERMAI) dan Program Usaha Kasih: Peningkatan Pendapatan (uKasih) yang merupakan program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama rakan strategik iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad sebagai penyumbang dana.


"Bantuan PERMAI menyenaraikan seramai 15 penerima komputer riba iaitu siswazah ahli isi rumah yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah

dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta memperoleh keputusan yang cemerlang selain berdaftar dalam sistem eKasih berstatus miskin dan miskin tegar," katanya.


Jelasnya lagi, penerima terdiri daripada 15 mahasiswa dari daerah-daerah di seluruh Sabah.


Pada program itu, seramai 16 ketua isi rumah menerima barangan seperti mesin parut kelapa, dapur gas dan peralatan elektrik.

Comments


bottom of page