IDS Lanjut Sesi Kajian Status Pelaksanaan Pelan Induk Kadamaian 2020 - 2035 Untuk 5 Tahun Pertama.
Oleh : Romie Stanley DGuns
16 November 2024
KOTA BELUD : Sesi libat urus oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) bertujuan untuk menilai status pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 bagi tempoh lima tahun pertama diteruskan hari ini di Dewan Serbaguna Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.
Sesi libat urus ini bertujuan untuk menilai pencapaian, cabaran, dan peluang pembangunan dalam lima tahun pertama pelaksanaan pelan ini.
Hasilnya akan menjadi panduan untuk memperbaiki dan memperkukuh pelaksanaan sepanjang tempoh selebihnya sehingga tahun 2035.
Sesi ini melibatkan lima zon utama di Kadamaian, iaitu Zon Sayap, Tengkurus, Nahaba, Kelawat, dan Kinasaraban yang merangkumi 20 buah kampung serta penyertaan pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari setiap kampung.
Dr. Rizoh Bosorong, Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menekankan peranan IDS sebagai institusi utama dalam menyokong pembangunan Wilayah Sabah.
Menurut beliau, IDS memainkan peranan penting melalui penerokaan idea dan pendapat yang menjadi platform untuk mengumpulkan pandangan dan cadangan baharu daripada pihak berkepentingan, membolehkan kerajaan memahami keperluan dan aspirasi komuniti.
IDS juga katanya menganalisis cadangan dasar awam dan melalui analisis mendalam, IDS memastikan dasar yang dirancang bersifat praktikal, relevan, dan selaras dengan matlamat pembangunan strategik negeri Sabah.
Dengan kajian berasaskan bukti, IDS membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih informatif dan berkesan, sekaligus meningkatkan kualiti proses membuat keputusan.
Seterusnya, Dr. Rizoh berkata menerusi sesi libat urus ini IDS dapat menambah baik dasar dan program.
"IDS menyokong perancangan dan pelaksanaan program yang lebih efektif untuk manfaat negeri, rakyat, dan negara secara keseluruhan," katanya.
Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020 - 2035 dilancarkan pada tahun 2020 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, semasa beliau menjawat potfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Dengan kerjasama IDS,
Pelan Induk Pembangunan Kadamaian menjadi dokumen panduan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di Kadamaian yang merangkumi pelbagai aspek seperti infrastruktur, ekonomi, sosial, dan persekitaran.
Melalui usaha berterusan ini, Kadamaian diharap dapat mencapai kemajuan yang mampan dan memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah secara keseluruhan.
Comments