IDS sedang laksanakan Kajian Penilaian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian - Ewon
16 Januari 2025
KOTA BELUD: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah sedang melaksanakan Kajian Penilaian ke atas Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan kajian penilaian itu bermula pada tahun lepas selepas lima tahun pertama pelaksanaan pelan induk tersebut.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan penghargaan beliau kerana banyak projek telah dilaksanakan di bawah pelan tersebut sepanjang tempoh 2020 hingga 2025.
“Saya gembira kerana banyak projek pembangunan berskala kecil sehingga berskala besar telah dilaksanakan sepanjang lima tahun pertama pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian ini terutama sepanjang Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK12) 2021-2025.
“Saya hargai sumbangan semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana projek-projek yang telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Kadamaian,” katanya.
Ewon menyatakan demikian dalam sesi libat urus IDS bersama Pejabat Daerah Kota Belud, Pusat Khidmat ADUN Kadamaian dan jabatan-jabatan kerajaan di Kota Belud di sini, hari ini.
Menurut Ewon, pelan induk tersebut terhasil daripada pandangan, cadangan, keperluan dan wawasan rakyat Kadamaian melalui kajian selama enam bulan yang dibuat oleh IDS pada tahun 2018 hingga 2019 sebaik sahaja beliau dipilih sebagai ADUN Kadamaian dan kajian tersebut dibiayai melalui peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian.
“Pada tahun lepas, saya meminta IDS mengadakan Kajian Penilaian ke atas pelaksanaan pelan ini termasuklah libat urus dengan jabatan-jabatan kerajaan di mana enam kluster perbincangan telah diadakan hari ini.
“Saya akan memberikan hasil kajian dan pelan induk ini kepada semua menteri dan kementerian mereka sebagai input rancangan RMK13 bagi kementerian masing-masing,” katanya.
Turut sama hadir dalam libat urus tersebut ialah Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton.
Comments