IKBK’24: SKM Pertimbang Geran Bantuan untuk Koperasi Terima Anugerah Projek Terbaik
31 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia untuk mempertimbangkan geran bantuan pembangunan kepada koperasi yang berjaya meraih Anugerah Projek Terbaik dalam Program Inovasi Keusahawanan Belia Koperasi 2024 (IKBK’24).
Menurut Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), langkah ini bertujuan untuk memperkasakan koperasi melalui sokongan kewangan yang membolehkan mereka memperkembangkan projek dan aktiviti ekonomi yang telah mereka usahakan di IKBK'24 ini.
Beliau berharap geran ini dapat menjadi dorongan kepada koperasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam inovasi dan keusahawanan.
“Semoga anugerah ini mampu memberi inspirasi kepada para belia untuk terus meningkatkan prestasi dan menyumbang kepada pembangunan koperasi di Malaysia,” katanya ketika berucap di majlis penutup IKBK’24 yang berlangsung di ibu negara pada Rabu.
Pada majlis ini, Ahmad Norihan menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000 kepada Koperasi Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman Berhad, penerima Anugerah Projek Terbaik bagi IKBK’24.
Naib johan dirangkul oleh Koperasi Kolej Vokasional Bintulu Berhad, manakala tempat ketiga disandang oleh Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad.
IKBK’24 dijayakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
Program ini julung kali diadakan pada tahun ini dan memberi fokus kepada generasi belia dalam pergerakan koperasi, selari dengan dasar-dasar semasa yang menyokong pembudayaan keusahawanan, pengukuhan bakat, dan pembangunan modal insan.
Dengan matlamat untuk membina generasi pemimpin koperasi yang berinovasi, IKBK’24 memberi peluang kepada para peserta untuk mencipta serta mengembangkan idea-idea dan inovasi baru yang boleh diaplikasikan dalam produk atau aktiviti sedia ada.
Program ini berjaya menarik penyertaan daripada 21 koperasi seluruh negara dengan penglibatan seramai 84 peserta.
Mengulas lanjut, Ahmad Norihan menyeru agar koperasi di Malaysia terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta mencipta peluang-peluang baharu dalam bidang ekonomi.
Menurutnya, koperasi perlu sentiasa kreatif dan berinovasi dalam memperkenalkan produk serta perkhidmatan yang mampu memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Generasi muda harus menerokai bidang keusahawanan bagi membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mampu memajukan ekonomi negara. IKBK adalah medium terbaik untuk memupuk minat belia dalam bidang perniagaan melalui koperasi,” tambahnya.
Dengan adanya program seperti IKBK’24, budaya keusahawanan dalam kalangan belia dapat dipupuk dan diperkembangkan.
Ini seterusnya memberikan mereka ruang dan pendedahan untuk mengasah bakat serta membina kemahiran keusahawanan yang diperlukan dalam pembangunan ekonomi negara.
Comentarios