top of page
  • nabalunews

Imigresen Tumpu Penambahbaikan Proses Kerja

19 September 2024


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) komited untuk menjalankan reformasi terhadap proses kerja dan penyampaian perkhidmatannya secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, menyatakan bahawa usaha penambahbaikan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk memperkukuh tahap integriti dan ketelusan di dalam jabatan, serta meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.


“JIM mengambil maklum berhubung 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi mengatur (setting) kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Semalam, Azam dilaporkan berkata kelemahan berkenaan merupakan punca utama kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas sehingga menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati ejen sindiket.


Mengulas penahanan 49 pegawai imigresen kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing di pintu masuk negara, Zakaria berkata JIM tidak akan berkompromi terhadap salah laku seumpama itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia serta SPRM.


“Tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang didapati menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi sehingga melanggar undang-undang negara,” katanya.


Beliau berkata ketegasan itu bertujuan menjamin keselamatan pintu masuk negara agar sentiasa terpelihara.


Semalam, Azam mengesahkan pihaknya telah menahan 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam kegiatan "counter setting" di pintu masuk negara menerusi Op Pump, Op Pump 2.0 dan Op Setting yang dijalankan sejak 20 Ogos lepas.

留言


bottom of page