top of page
nabalunews

Indikator kos sara hidup bakal dilancarkan, beri panduan dasar kerajaan

10 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melancarkan Indikator Kos Sara Hidup pada 2 November ini.


Ini adalah sebagai satu langkah penting untuk memahami kos sebenar yang diperlukan isi rumah bagi memenuhi keperluan asas serta penyertaan dalam masyarakat.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), menjelaskan bahawa indikator tersebut akan membantu kerajaan dalam menggubal dasar berkaitan kos sara hidup dan pelaksanaan bantuan kepada golongan sasar.


“Pelancaran itu turut bersempena dengan Sambutan Hari Statistik Negara Tahun 2024 dan Ulang Tahun Jubli Intan Ke-75 DOSM,” katanya dalam satu kenyataan.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan cadangan dasar untuk meneliti pemberian pinjaman perumahan jangka panjang akan dibincangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Bank Negara Malaysia (BNM).


Langkah ini bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah tanpa beban kewangan berlebihan, sejajar dengan nisbah hutang isi rumah yang meningkat dari 67.2% pada 2002 kepada 81.2% pada 2022.

Comments


bottom of page