top of page
nabalunews

Industri Lada Hitam Di Sabah Semakin Melonjak - Dennison

Oleh: Romie Stanley Deukin

10 November 2024


KOTA BELUD : Potensi industri lada hitam di Sabah semakin baik dengan permintaan yang terus meningkat di pasaran tempatan.


Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Sabah (PLAS), Dennison R. Indang berkata pertumbuhan industri lada hitam dijangka melonjak pada tahun hadapan berikutan peningkatan permintaan terhadap produk ini, bukan sahaja di dalam negeri malah turut mendapat permintaan tinggi di luar Sabah.


Dennison berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan kursus asas penanaman lada hitam di Kota Belud petang semalam, pada 9 November.


Kursus asas ini berjaya menarik lebih daripada 60 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia.


Dalam ucapan penutupannya, Dennison

berkongsi pengalamannya dalam industri lada hitam dan menyatakan bahawa potensi produk pertanian ini semakin cerah dengan permintaan yang terus meningkat.


Beliau memaklumkan bahawa usahanya kini tertumpu kepada aktiviti hiliran yang lebih strategik, seperti penghasilan produk lada yang bernilai tambah serta pemasaran yang lebih meluas.


Dennison turut berkongsi bahawa beliau kini merupakan pembekal utama lada hitam di Sabah, di mana produknya dijual di rangkaian pasaraya seperti CKS dan Bataras serta di kedai-kedai runcit sekitar negeri.


Namun, Dennison mengakui bahawa permintaan yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa menolak peluang untuk membekalkan produk lada hitam ke Selangor disebabkan kekurangan bekalan.


Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lada Malaysia, Dennison menjelaskan bahawa pasaran lada hitam dijangka akan terus berkembang, disokong oleh pelbagai inisiatif yang sedang dirancang oleh PLAS dan Lembaga Lada Malaysia.


"Program-program ini dirangka untuk menyokong pertumbuhan industri lada hitam di Malaysia, khususnya di Sabah, melalui bimbingan, latihan, serta bantuan kepada para penanam.


“Ini adalah peluang besar untuk kita meningkatkan pendapatan melalui industri lada hitam. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi, kita mampu mencapai kejayaan,” kata Dennison, menyuntik semangat kepada para peserta untuk menjadikan penanaman lada hitam sebagai satu sumber pendapatan yang menguntungkan.


Pada sebelah pagi, kursus ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapannya, Ewon menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif seumpama ini yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.


Sebagai tanda sokongan, Ewon turut menyumbangkan sebanyak 20 bibit lada hitam kepada peserta yang menunjukkan komitmen tinggi dalam bidang ini.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi PLAS Reggy Walter, Setiausaha PLAS Zita Bolingkong, Pengerusi PLAS Kota Belud, Janus Tioon, serta Saikom Watis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian.

Comments


bottom of page