INDUSTRI MINYAK SAWIT DAPAT SESUAIKAN DENGAN NORMA BAHARU, MODEL PERNIAGAAN BAHARU DENGAN CEPAT - MP
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_4964a95906e0494e8f4ae0b54e634a48~mv2.jpeg/v1/fill/w_900,h_600,al_c,q_85,enc_auto/d65831_4964a95906e0494e8f4ae0b54e634a48~mv2.jpeg)
24 NOV 2020
KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit dilihat dapat menyesuaikan dengan norma baharu dan model perniagaan baharu dengan cepat yang didorong oleh senario COVID-19 selepas mencatatkan kelembapan eksport dan harga pada suku pertama 2020 berikutan pandemik tersebut.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kelonggaran sekatan pergerakan yang disebabkan COVID-19 di kebanyakan negara dan aktiviti ekonomi yang telah disambung semula akan membawa kepada lebih banyak permintaan terhadap minyak sawit.
“Oleh itu, ini akan memberi lebih banyak peluang kepada minyak sawit untuk pulih daripada impak pandemik tersebut,” katanya dalam ucapan bertajuk, “Overview of the Malaysian Palm Oil Industry during the Pandemic and the Route to Recovery” di Ekspo Maya Minyak Sawit Dunia, hari ini. Mengenai situasi semasa sektor minyak sawit pada tahun ini, katanya sektor perladangan dilihat dapat menyesuaikan dengan norma baharu keadaan bekerja, walaupun pintu sempadan ditutup yang menjejaskan buruh asing daripada memasuki negara ini.
Selain itu, katanya pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dari April hingga Oktober 2020 meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada 12.45 juta tan tahun ke tahun, menunjukkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 tidak memberi impak yang ketara kepada pengeluaran MSM.
Situasi stok pada 2020 untuk tempoh Januari hingga Oktober adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan purata stok bulanan sebanyak 1.79 juta tan.
“Selepas pelaksanaan PKP, stok tinggi sedikit tetapi berkurangan kepada 1.70 juta tan (lebih rendah pada Julai 2020) berikutan pengecualian duti eksport MSM yang diberikan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA),” katanya.
Sementara itu, eksport minyak sawit pada Januari hingga Mei 2020 sebahagiannya terjejas oleh permintaan global yang rendah berikutan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan di kebanyakan negara-negara pengimport, dan pengeluaran yang lebih rendah.
Oleh itu, eksport minyak sawit Malaysia merosot sebanyak 23.9 peratus kepada 6.09 juta tan tahun ke tahun.
Beliau berkata bermula Jun, eksport minyak sawit pulih berikutan aktiviti ekonomi yang telah disambung semula di kebanyakan negara, selain daripada pengecualian duti eksport MSM.
Eksport minyak sawit pada Jun hingga Oktober 2020 naik sebanyak 37.3 peratus kepada 8.35 juta tan daripada 6.09 juta tan pada Januari hingga Mei 2020, katanya.
Dr Ahmad Parveez berkata sebagai penjaga industri minyak sawit Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, MPOB serta agensi dan majlis lain yang berkaitan akan terus bekerjasama dengan penggiat industri minyak sawit untuk mengukuhkan asas industri dalam menghadapi cabaran untuk kemampanan industri sawit. - Bernama
Comments