Influenza boleh jadi ancaman utama, ambil langkah pencegahan segera
15 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih serius terhadap simptom jangkitan virus influenza, yang berpotensi menjadi ancaman kesihatan utama dalam komuniti.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr. Rushdan Abdul Aziz, menekankan bahawa ramai yang tidak menyedari bahaya influenza, yang boleh berjangkit dengan mudah melalui udara dan menjadi virus pembunuh senyap.
"Impak influenza ini lebih mudah merebak berbanding COVID-19, kerana ia berjangkit melalui cebisan udara. Jadi, jika ada yang batuk atau selesema, dan ia merebak melalui udara, risiko jangkitan itu sangat tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkaspuri Kota Media, di sini, lapor Berita RTM.
Dr. Rushdan turut menekankan bahawa kanak-kanak berumur bawah lima tahun, dewasa berumur lebih 65 tahun, wanita mengandung, serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru merupakan golongan yang berisiko tinggi terdedah kepada virus Influenza.
Beliau mencadangkan agar langkah-langkah pencegahan yang sama seperti semasa menghadapi wabak COVID-19 diambil, termasuk melakukan pemeriksaan sekiranya mengalami simptom demam melampau, mengambil vaksin, memakai pelitup muka, serta menjaga kebersihan diri.
Comments