Inisiatif KUSKOP bantu syarikat PMKS laksana e-Invois
13 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya mengambil inisiatif membantu syarikat perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi menjayakan pelaksanaan e-Invois yang akan berkuatkuasa sepenuhnya tahun 2025.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, program bimbingan dan latihan untuk usahawan PMKS itu telahpun dilaksanakan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp dan SME Bank di seluruh negara.
“INSKEN telah melaksanakan program bagi memberi pendedahan asas kepada usahawan mengenai keperluan dan kepentingan pematuhan e-invois di Putrajaya dan Kota Kinabalu pada 28 November 2024 dan 10 Disember 2024 melibatkan 200 peserta di setiap lokasi.
“SME Corp. Malaysia pula telah bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk memberi penerangan berkaitan inisiatif e-Invois kepada PMKS pada Jun 2024 melibatkan 102 peserta.
“Selain itu, SME Corp. Malaysia juga bekerjasama dengan Alliance Bank Berhad bagi tempoh Julai sehingga September 2024 dalam membantu mempromosikan
e-Invois di peringkat negeri termasuk Sabah dan Sarawak dengan penglibatan seramai 1,045 peserta termasuk dalam kalangan PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2025, di Dewan Negara, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, SME Bank melalui CEDAR akan memberi bimbingan dan latihan
e-Invois sebagai salah satu kursus pengurusan kewangan yang ditawarkan kepada usahawan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kawalan pengurusan cukai serta kewangan,” katanya.
Comments