top of page
Search

INISIATIF PRIHATIN BANJIR SABAH DAN SARAWAK. KUSKOP SEDIA BANTU USAHAWAN DAN KOPERASI PULIH

nabalunews

 

12 Februari 2050


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi beberapa agensinya mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan di Wilayah Sabah dan Sarawak yang terkesan akibat banjir, baru-baru ini.


Inisiatif itu bagi meringankan beban yang dihadapi para usahawan di mana premis perniagaan mereka terjejas akibat kerosakan stok barangan atau kediaman.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan KUSKOP, hari ini, menegaskan, antara kemudahan yang ditawarkan menerusi TEKUN Nasional ialah menyediakan moratorium sehingga tiga bulan.


Katanya, ia bagi memberikan kelonggaran kewangan kepada usahawan yang terkesan untuk membayar balik pembiayaan akibat terkesan banjir.


“Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan dan boleh membuat penjadualan semula pembayaran pembiayaan.


“Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.


“Bantuan dalam bentuk suntikan modal atau pembiayaan tambahan boleh digunakan oleh usahawan untuk memulihkan atau meningkatkan operasi perniagaan mereka selepas kejadian banjir,” katanya.


Menurutnya, setakat ini, seramai 702 orang usahawan TEKUN dari Sabah dan Sarawak terjejas akibat banjir dengan anggaran kerugian mencecah RM3.2 juta.


Sementara itu, satu lagi agensi KUSKOP iaitu Bank Rakyat pula menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk tempoh sehingga enam bulan sepanjang tempoh pembiayaan.


Katanya, antara produk yang ditawarkan menerusi kemudahan ini adalah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Kad Kredit-i.


“Begitu juga dengan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) yang menawarkan bantuan banjir berbentuk moratorium tiga hingga enam bulan bayaran ansuran bulanan tertakluk kepada permohonan dan kelulusan pengurusan.


“Selain itu, atas dasar keprihatinan agensi KUSKOP seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyumbangkan bantuan kepada anggota koperasi yang terjejas berupa Bantuan Bakul Makanan dan peralatan elektrik di Sarawak (Serian dan Miri) yang bernilai RM15,000 dan RM10,000 bagi Sabah.  


“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga turut menyumbangkan sebanyak 100 bakul Bantuan Bakul Makanan untuk anggota koperasi yang terjejas di Kota Belud, Lahad Datu, Serian dan Bintulu,” katanya.


Sehubungan itu, semua usahawan dan koperasi yang terjejas banjir digalakkan untuk menghubungi pejabat cawangan agensi–agensi di bawah KUSKOP bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif banjir yang ditawarkan.

Tags:

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page