top of page

Inovasi projek kebun komuniti tambah pendapatan penduduk: Ewon

Wartawan Nabalu News
Ewon melawat jualan produk roselle yang diusahakan penduduk kampung.
Ewon melawat jualan produk roselle yang diusahakan penduduk kampung.

1 Mac 2025


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, inovasi projek kebun komuniti yang diusahakan penduduk kampung boleh dijadikan sumber pendapatan penduduk setempat.


Sehubungan itu Ahli Parlimen Penampang itu memberi sokongan penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh penduduk Kampung Madsiang yang mengusahakan tanaman dan inovasi roselle.


“Projek Kebun Komuniti: Penanaman dan Inovasi Roselle di Kg Madsiang, bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi komuniti tetapi juga menggalakkan inovasi dalam sektor pertanian.


“Saya hargai usaha dan inisiatif komuniti yang diketuai oleh Judy Lasius bagi membangunkan ekonomi rakyat berasaskan kelestarian dan inovasi. Saya juga berharap mereka dapat membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk koperasi untuk memasarkan produk-produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Madsiang Community Learning Centre dan Penutupan Projek Kebun Komuniti: Penanaman dan Inovasi Roselle di Kg Madsiang, di sini, hari ini.


Ewon berharap kejayaan projek ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada komuniti lain untuk turut sama mengusahakan pertanian secara inovatif bagi menjana pendapatan.


“Dengan komitmen kerajaan dan kerjasama strategik pelbagai pihak, saya berharap Projek Kebun Komuniti di Kg.Madsiang terus berkembang, seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup penduduk dan mengukuhkan ekonomi tempatan.


Beliau turut menghargai sumbangan All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) - SDG yang memilih kampung ini untuk pelaksanaan projek.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan, saya akan meminta SME Corp di Sabah iaitu agensi di bawah kementerian saya untuk mengadakan perbincangan dengan pusat ini bagaimana agensi tersebut dapat membantu keperluan keusahawanan yang berkaitan.


“Selaku Ahli Parlimen Penampang, saya bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 tahun ini bagi menyokong usaha-usaha di pusat Madsiang Community Learning Centre,” katanya.


Melalui penggunaan teknologi pertanian moden dan pendekatan lestari, tanaman Roselle yang diusahakan oleh penduduk kampung mampu menghasilkan pelbagai produk bernilai tinggi seperti jus, teh dan produk kesihatan lain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page