Inovasi teknologi penting dalam kawalan keselamatan sempadan negara
6 November 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian beliau akan mengorak langkah memperluas aplikasi teknologi seperti penggunaan dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara.
Jelas beliau langkah ini penting bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan keselamatan negara.
“Kita melihat pentingnya untuk meneroka inovasi baru, seperti misalnya pemasangan CCTV ataupun aspek penggunaan dron yang kemudiannya kita memerlukan untuk adakan pusat kawalan.
“Yang paling penting adalah data yang dikutip daripada penggunaan dron ataupun data yang dirakam melalui penggunaan CCTV, bila disalurkan di pusat kawalan… ianya kemudian menjadi satu maklumat penting untuk pasukan penguatkuasa termasuklah PGA pasukan polis dan sebagainya,” kata Saifuddin selepas Majlis Gema Bahasa dan Sastera (GEBARA) sempena Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pertubuhan Kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut menjelaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu kini menjadi prasyarat bagi pertimbangan permohonan kewarganegaraan Malaysia.
Langkah ini, katanya, penting bagi memastikan setiap warganegara memiliki kemahiran bahasa yang baik sebagai simbol identiti nasional.
Comentários